Penaklukan Indochina 28 Hari : Part 1

Apa itu INDOCHINA?

Pada mulanya memang tidak merancang tetapi keinginan untuk mengembara secara solo untuk tempoh yang lama membuak-membuak. Aku jadikan landasan Indochina sebagai permulaan untuk aku pergi jauh dalam dunia pengembaraan solo. Berlandaskan hanya sekeping kertas aku meletak dua sasaran dalam pengembaraan ini di mana aku mesti mencuba menaiki kereta api dari Ho Chi Minh ke Hanoi dan berjumpa sahabat aku di Chiang Mai.

Disebabkan nama Indochina ini sungguh unik aku melihat pengembaraan ini perlu ditakluk apatah lagi berdekatan dengan Malaysia. Asal nama Indochina adalah datang dari zaman penjajahan Perancis yang melibatkan tiga negara iaitu Vietnam, Laos dan Kemboja yang dahulunya dikenali sebagai France Indochine sebagai kawasan penjajahan Perancis. Nama Indochina adalah gabungan dari India dan China di mana ketika zaman penjajahan, Perancis melihat Laos dan Kemboja mempunyai unsur-unsur India iaitu Hindu-Buddha manakala bagi Vietnam mempunyai unsur-unsur budaya dan agama dari China.

Sekarang ini setelah mengalami beberapa revolusi selepas penjejahan Perancis, Indochina mewakili 6 negara iaitu Malaysia, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam mengikut atau dengan nama lain adalah Semenanjung Asia Tenggara (Semenanjung Asia Tenggara).

Dari Phnom Penh Ke Poipet

Entah mengapa setiap kali aku tiba di negara orang aku rasa berdebar terutama semasa proses imigresen. Walaupun aku sudah biasa travel tetapi apabila aku ke nagara orang pasti aku rasa seperti orang asing. Itu yang aku rasa apabila pertama kali jejak ke Lapangan Antarabangsa Phnom Penh. Aku terasa sungguh asing sekali walaupun yang duduk bersebelahan aku di dalam kapal terbang adalah rakyat Malaysia.

Sejurus melepasi  pintu arrival aku melihat terdapat kaunter tukaran duit, Sim Kad dan Teksi Airport. Aku merasakan perlu tukar duit Kemboja kerana merasakan mungkin mereka masih menggunakan duit mereka berbanding duit USD. Setelah selesai menukar duit, aku rasa seperti orang kaya kerana nilainya seperti jutawan segera namun nilai duit tidaklah sebesar mana.

Aku duduk sebentar untuk menyimpan duit di dalam dompet  sambil mata melilau memandang kawasan sekeliling. Terlalu banyak yang bermain dalam fikiran aku masa itu Aku bangun dan menghampiri ke kaunter untuk melihat kad sim apa yang sesuai dengan aku sebagai blogger. Mengikut keperluan, aku hanya berada sini di lebih kurang seminggu dan guna hanya untuk whatsapp dan sosial media. Setelah lihat melihat harga dan data yang diberikan , aku memillih telco Cell Card 2G untuk tempoh 21 hari yang berharga 3 USD. Aku rasa berbaloi untuk keperluan aku.

Pada mulanya aku bercadangan hendak menaiki teksi untuk ke bandar, namun aku fikir tuk tuk pasti murah.  Aku mula rimas apabila mereka mula memanggil aku dengan perkataan “teksi teksi atau tuk tuk”. Aku melambaikan tangan sebagai tanda aku tidak mahu dan apabila mereka tanya aku akan berbohong dengan menjawab “I have local friends.Dengan beg yang berat dan ditambah dengan laptop aku sudah tidak berdaya hendak berdiri lama lalu aku mencari kerusi yang berhampiran. Sambil melihat pemandu teksi yang sedang mencari pelanggan, aku cuba melayari internet untuk mendapatkan informasi bagaimana untuk mendapat kadar yang murah dengan menaiki tuk tuk.

Mengikut sumber maklumat dalam blog, aku perlu keluar sehingga ke pintu pagar airport dan akan nampak tuk tuk dan motor bersidai di situ. Pada mulanya mereka hendak 8 USD dan aku cuba tawar menawar sehingga 5 USD, tetapi dengen menaiki motor. Mana boleh sebab beg aku sudah lah besar 20 liter dan berat, bagaimana mana hendak naik motor. Setelah berunding, akhirnya aku mendapat dengan harga 6 USD untuk tuk tuk, janji aku selesa berbanding menaiki motor untuk ke bandar.

Apabila  sampai di Phnom Penh, aku cuba hendak check in hostel yang aku telah tempah di laman web booking.com namun tiada orang di kaunter. Aku sudah lah penat kena naik tangga sehingga 3 tingkat dengan beg lagi, memang stress aku dibuatnya.  Aku cuba meseg di Facebook, malangnya tidak dijawab lebih kurang satu jam juga aku tunggu, itu pun baru balas meseg tetapi masih tiada orang di kaunter. Apabila bertanya kepada salah seorang backpacker, dia pun tidak tahu di mana orang di kaunter.

Setengah jam kemudian, barulah ada orang di kaunter yang menguruskan bilik aku. Sebenarnya aku telah buat keputusan awal untuk tidak pergi ke Sieam Reap kerana waktu pun sudah tengah hari. Jika aku sampai sana tiada guna kerana memang tiada lansung masa untuk melawat Angkor Wat walhal aku telah tempah hotel di Aranyaprathet untuk satu malam. Ditambah dengam bajet aku yang terhad dan pelbagai lagi perkara yang aku perlu fikirkan jika ke Angkor Wat.

Semasa berbalas meseg melalui whatsapp kawan aku berkata  “Jomlah pergi ke Aranyaprathet alang-alang sudah tempah hotel bila lagi nak ke sana. Di sana antara pusat bundle terbesar di Asia Tenggara dan macam-macam barang jualan boleh ditemui”. Aku juga minat dengan barang bundle dan sayanglah jika aku menolak peluang ini.  Setelah fikir masak-masak, pendirian aku mula berubah, aku terus cari tiket ke Sieam Reap dan aku memilih sleeper bus yang berharga 11 USD. Bas akan bergerak jam 11 malam dan aku ada masa 8 jam untuk ronda-ronda di sekitar bandar Phnom Penh.

Jam telah menunjukkan 8 malam, aku perlu bergegas pulang ke hostel setelah aku puas berjalan-jalan di sekitar taman berhadapan Tonle Sap River. Setelah selesai mengemas semua barang-barang, aku meminta pertolongan staf di situ untuk mengambil gambar aku di hadapan kaunter sebagai tanda kenangan aku sudah menginap di hostel itu. Suasana di kaunter sangat cantik apatah lagi mengadap bangunan luar dan Sungai Tonle Sap. Aku keluar tepat jam 11.00 malam, bas ke Siem Reap sudah terpacak menunggu aku. Nasib baik bas itu tidak tinggalkan aku.

Sejurus aku naik, wow ini rupanya slepper bus yang mempunyai 3 barisan katil dan 2 tingkat seperti double decker. Katil aku bersebelahan tingkap dan tingkat atas. Laluan barisan katil dan saiz katil mengikut saiz asia seperti badan aku yang tak besar dan tidak kurus sedang-sedang.  Bagi orang lain yang terutama badan seperti Sazali Samad memang sempit.

Dalam bas ini kelihatan seperti dalam disko dengan lampunya yang berwarna-warni. Pening juga kalau sudah bas lampu macam ini, kalau sudah berjalan macam manalah nanti.  Mereka ada sediakan air mineral dan selimut kerana dalam bus ini sangat sejuk seperti bas baru. Apabila bas sudah bergerak aku sudah tidak ingat apa-apa dan lampu dipadamkan. Maklumlah bas bergerak di waktu malam dan tiada pemandangan indah yang boleh dinikmati. Lebih baik aku tidur sahaja.

Ikuti sambungan seterusnya PENAKLUKAN INDOCHINA pada setiap Isnin  jam 8.30 PM.

Related Post

Leave a Reply