Penaklukan Indochina 28 Hari : Part 11 – Merangkak di Chu Chi Tunnel

Setiap perjalanan atau pengembaraan aku pasti ada tujuan tidak kira besar atau pun kecil. Sebelum aku memulakan pengembaraan ini aku berkata Chu Chi Tunnel mesti aku pergi sebab aku ingin melihat kesan bagaimana orang Vietnam melawan Amerika pada tahun 1975 Perang Dunia Ke 2. Selepas pulang dari berjalan-jalan sekitar bandar Ho Chi Minh bersama Ivy, aku terus bertanya di kaunter hostel untuk membuat tempahan ke Chu Chi Tunnel. Namun disebabkan sudah lewat malam, tiada receptionist untuk mengangkat panggilan telefon. Maka aku diminta untuk datang semula pada keesokan pagi untuk membuat tempahan. Aku rasa kesal kerana lambat membuat keputusan dan aku menjangkakan akan pergi keesokan pada tengah hari.

Selamat pagi Ho Chi Minh! Pagi pertama aku di bumi Vietnam. Kesibukan bandaraya Ho Chi Minh kedengaran dari bilik aku kerana hostel yang aku menginap ini memang di lokasi bandar utama. Memang apa yang dijangkakan itu betul apabila aku bertanya pada receptionist untuk tempahan pagi sudah tidak sempat lagi, dan yang ada hanya tengah hari.

Oleh itu aku tidak ada cara lain hanya mengambil tempahan tengah hari ke Chu Chi Tunnel dan memikiran apa perlu aku buat pada pagi ini. Sambil berjalan aku mula berfikir apa lagi yang perlu aku buat di sini dan berapa hari lagi perlu aku tinggal di sini. Nak kata tempat penting-penting di Ho Chi Minh banyak yang aku sudah pergi. Aku membiarkan perkara itu bermain di dalam fikiran aku.

Sampi sahaja ke pejabat travel agent, aku terus bertanya bagaimana hendak ke Hanoi. Sememangnya salah satu tujuan trip ini adalah aku ingin merasai bagaimana menaiki kereta api lebih dari 24 jam. Tanpa memikirkan panjang aku membuat keputusan untuk menaiki kereta api kelas pertama berharga RM400. Aku bertanya apa yang boleh lagi dilawati di Vietnam, lalu dia menjawab Hoi Ann kerana Hoi Ann antara bandar yang tertua di Vietnam dan seni binanya masih kekal seperti dahulu.

Selepas selesai membuat pembayaran aku terasa kesal kerana mungkin aku boleh ke Hoi Ann dahulu dengan bas kemudian terus ke Hanoi dengan kereta api. Namun aku telah buat keputusan berdasarkan kepada tujuan asal aku merasai bagaimana menaiki kereta api selama 32 jam. Kadang-kadang apa yang kita rancang boleh berubah mengikut keadaan semasa sama ada peluang itu baik atau pun disebabkan sesuatu yang tidak baik.

Sekali lagi aku ke Malaysia Street berdekatan Pasar Ben Thanh untuk brunch . Aku tidak tahu di mana hendak aku sarapan pagi dan makan tengah hari yang paling hampir dengan hostel aku, maka di Malaysia Street adalah tempat makanan halal yang mudah untuk aku pergi. Sambil menuju ke sana aku singgah ke beberapa kedai beg untuk melihat beg yang dijual. Perasaan aku seperti ingin membeli tetapi aku menepis sekuatnya perasaan itu kerana aku khuatir duit yang ada tidak mencukupi  untuk perkara yang lebih penting. Selain tiada ruang untuk aku membawa, aku tidak mahu membebankan diri aku dengan membawa beg yang banyak

Tanpa aku sedari masa berlalu dengan pantas. Tepat jam 1.30 petang van koster yang membawa aku ke Chu Chi Tunnel tiba di depan hostel aku. “Wow! Ramai juga yang pergi ke Chu Chi Tunnel ni’ terdetik hati aku ketika mula memijak vas koster. Vas koster itu dipenuhi dengan mat saleh. Aku mula bertanya diri aku, di mana rakyat Malaysia? Alangkah seronok jika ramai rakyat Malaysia bertemu dalam vas koster dan sembang sambil bergelak ketawa sebagaimana orang Eropah apabila berjumpa pasti nampak kemesraan mereka seolah-olah sudah lama berkenalan.

Tanpa aku sedari vas koster aku berhenti di hostel yang terakhir dan dua penumpang yang baru naik itu kelihatan seperti dari China atau mungkin Korea. Salah seorangnya duduk bersebelahan aku lalu aku bertanya “ Where are you from?” dan dia menjawab “I’m from Malaysia”. Akhirnya ada juga orang dari Malaysia. Perbualan aku hanya berkisar kepada berapa lama dia di Ho Chi Minh dan trip aku yang bermula di Kemboja.

Perjalanan untuk ke Chu Chi Tunnel memakan masa lebih 1 jam 3 minit. Tiada pemandangan yang indah selain dari kawasan tanaman padi. Tidak seperti di Kampung Sungai Sireh Kuala Selangor di mana tanaman padi di sana berpusat dan sistemetik. Sebelum sampai ke Chu Chi Tunnel, kami di bawa ke kilang kraf tangan orang kurang upaya (OKU). Jika anda melihat kraftangan dan lukisan yang diperbuat dari kulit telur atau kulit kerang di Pasar Ben Thanh datang dari kilang tersebut. Melihat kepada proses untuk menyiapkan sesuatu kraftangan dan lukisan yang dibuat oleh OKU adalah sangat rumit dan memerlukan ketekunan yang tinggi.

Kemudian perjalanan diteruskan ke Chu Chi Tunnel. Sebaik tiba aku diberi tiket sama seperti pelancong yang lain. Kami semua diberi taklimat ringkas tentang sejarah Chu Chi Tunnel dan stesen yang pertama dituju adalah lubang rahsia yang menuju ke laluan dalam tanah. Saiz lubang itu adalah mengikut badan Asia seperti aku yang masih slim berbanding badan orang putih, memang kalau mereka cuba memang sempit . Iyalah badan mereka kebanyakannya besar-besar tidak sama dengan badan orang Asia.

Kami dibawa ke beberapa stesen yang menceritakan tentang keadaan sebenar di Chu Chi Tunnel. Antara yang menarik minat aku adalah stesen yang menerangkan tentang jerangkap samar. Terdapat lebih dari 5 jerangkap samar yang boleh melukakan dan membunuh musuh. Memang rasa agak menakutkan apabila melihat bagaimana jerangkap samar itu berfungsi terutama jerangkap samar yang menuju ke kemaluan musuh.

Dalam keadaan tergesa-gesa tour guide cuba membawa kami ke setiap stesen dengan memberi penerangan ringkas. Walaupun begitu aku cuba menghayati setiap penerangan yang diberikan walaupun sekejap. Kemudian kami dibawa masuk ke lorong bawah tanah untuk merasai bagaimana tentera komunis Viakong merangkak di laluan bawah tanah. Sempit dan berdebu tetapi tidak lah panas kerana sepanjang laluan bawah tanah itu mempunyai lubang udara. Ini menujukkan betapa bijaknya mereka ketika itu dalam membina sebuat tempat persembunyian yang luas dan terancang.

Banyak perkara bermain dalam minda aku bagaimana tentera Amerika boleh kalah dengen mereka. Adakah tentera Amerika ini ego? Atau tentera komunis Viakong ini bijak? Orang Vietnam menganggap Amerika ini kejam dan zalim kerana tentera Amerika telah membunuh orang Vietnam secara ‘pukul rata’. Mereka tidak dapat membezakan siapa tentera komunis Viakong dan lebih kejam lagi tentera Amerika menggunakan bom berangkai yang boleh menyebabkan kecacatan pada orang Vietnam.

Menurut tour guide bahawa tentera komunis Viakong pada waktu siang mereka bekerja seperti orang biasa iaitu menanam padi atau aktiviti pertanian, pada waktu malam mereka akan bersembunyi di Chu Chi Tunnel. Aku cuba buat perbandingan dengan Malaysia ketika zaman penentangan komunis. Kampung-kampung baru diwujudkan bagi mengasingkan mereka dari golongan yang menyokong tentera komunis dan juga dari segi pemantuan yang lebih mudah dan terkawal. Oleh sebab itu tentera komunis terpaksa tinggal di dalam hutan dan amat sukar untuk mereka mendapat bahan makanan kerana setiap laluan utama dijaga oleh polis.

Kerjasama erat antara British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu berjaya mengawal kemaraan tentera komunis. Berbeza pula dengan tindakan tentera Amerika kerana tidak tahu membezakan orang Vietnam yang berpihak kepada mereka atau yang menyokong komunis Viakong menyebabkan tentera Amerika menembak atau mengebom di lokasi yang mereka syak adalah tentera komunis Viakong.

Pelbagai jenis senapang seperti AK-7, M16 dan Machine Gun disediakan untuk pelancong merasai bagaimana mengggunakan senapang tetapi perlu membeli peluru minima satu papan bukan sebiji. Aku hanya mampu melihat dan mendengar bunyi tembakan peluru itu seolah-olah di medan perang sudah cukup bagi aku. Menyelami kehidupan tentera komunis Viakong yang tinggal beralaskan tanah dengan ruang yang sempit dan makanan utama ubi bakar, membuat aku berfikir bahawa apabila kita hidup dalam serba kekurangan dan tekanan yang hebat kita akan mula berfikir untuk melakukan sesuatu yang hebat dan kreatif

Ikuti sambungan seterusnya PENAKLUKAN INDOCHINA pada setiap Isnin  jam 8.30 PM

 

Related Post

Leave a Reply