Penaklukan INDOCHINA 28 Hari : Part 2

Pusat Bundle Terbesar

Aku sampai di Sieam Reap lebih kurang jam 5.00 pagi dan apabila aku turun dari bas aku tidak tahu di mana aku berada seperti orang mamai. Aku lihat tuk tuk sedang menunggu dan memanggil pelanggan. Ini yang aku risau sebab apabila bus berhenti di bangunan syarikat operasi mereka, sudah tentu jauh dari bandar. Risiko untuk kena tipu dengan pemandu tuk tuk memang tinggi. Aku sudah lah tidak tahu berapa kadar yang akan dikenakan mereka dan ini menjadi masalah kepada aku untuk tawar menawar harga selain daripada masalah bahasa.

Sebab itu apabila aku nak start berunding harga terutama sekali melibat pengangkutan awam, aku akan bersandarkan kepada jarak perjalanan dan masa yang diambil. Selain itu aku akan cuba membuat perbandingan harga di Malaysia seperti dari KLIA ke Shah Alam RM 55 dan itu adalah harga teksi lapangan terbang. Akhirnya aku pun malas hendak fikir dan mintak diskaun pun aku tidak bersungguh-sungguh ditambah keadaan yang masih gelap. Aku  terima sahaja harga yang dia minta iaitu 10 USD untuk ke lapangan terbang.

Alhamdullah sampai sahaja Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap aku mengambil kesempatan untuk  mandi dan bersihkan diri sebelum kawan aku tiba. Tidak lama kemudian kawan aku bersama isterinya membawa 2 bungkus Nasi Lemak Air Asia. Kawan aku tanya “Sudah breakfast? “ Aku pun jawab “ belum”.  “Ini ada nasi lemak 2 bungkus , abang lupa yang abang ni sudah tempah nasi lemak. Sebelum flight sudah siap-siap makan” jawab kawan aku.Selepas makan, aku terus ambil teksi ke stesen bas Siem Reap dan kemudian sewa kereta ke Poipet.

Stesen bas Siem Reap memang kelihatan usang dan berdebu hanya kelihatan hanya orang tempatan.  Aku syak pelancong tidak akan datang ke sini sebaliknya bas yang akan mengambil mereka di hotel sebagaimana yang berlaku di Phnom Penh. Setelah dapat kereta aku terus ke Poipet yang terletak di sempadan Kemboja dan Thailand.

Setelah 2 jam perjalanan, aku melihat suasana Poipet tidak ubah seperti pasar malam di siang hari. Kenderaan keluar masuk di tambah pula dengan pelancong yang sibuk dengan urusan imigresen. Ada pula yang cuba mengambil kesempatan seperti ulat untuk menguruskan visa perjalanan  untuk pelancong asing. Selain daripada tempat laluan masuk ke Thailand, kawasan ini terkenal dengan pusat perjudiaan.

Dahulu di Kemboja memang terdapat banyak tempat pusat perjudian, tetapi setelah kerajaan melihat rakyatnya semakin ketagih dengan aktiviti judi, maka telah diharamkan kecuali di Poipet sempadan Kemboja. Dari luar tidak nampak apa-apa tetapi setelah melepasi imigeresen kelihatan bangunan yang tersusun tidak ubah seperti bangunan di bandar moden.

Dari situ aku perlu berjalan kaki sejauh lebih kurang 200 meter untuk urusan imigresen di sempadan Thailand. Tidak jauh dari situ sudah nampak Border Hotel, tempat penginapan aku di Aranyaprathet. Tanpa melengahkan masa selepas check in aku terus jalan kaki menuju restoran Thai Muslim Tom Yam berdekatan Golden Gate Market bagi mengisi perut aku yang lapar.

Rasa tom yam di sini  memang sedap maklumlah orang kata kalau hendak makan tom yam yang sedap mesti cuba di Thailand. Aku mula rasa pelik apabila melihat banyak baju banyak tergantung dan orang sedang tawar-menawar harga pakaian di restoran ini. Rupa-rupanya restoran ini juga menjual pakaian terpakai dan menjadi tempat pertemuan peniaga-peniaga bundle.

Mengikut pandangan kasar mata aku, Golden Gate Market ini seluas Stadium Bola Sepak Bukit Jalil dan mungkin lagi besar, maka aku membuat keputusan untuk sewa moto  150 Baht sehari.  Selesai sahaja makan aku terus sewa motor dan meronda-ronda di sekitar Golden Gate Market. Selain dari motor terdapat buggy car  atau kereta golf untuk orang yang membeli pelbagai barang dalam kuantiti yang banyak.

Setakat ini yang aku nampak perempuan sahaja yang  menggunakan kereta golf kerana mudah dipandu dan senang untuk urusan membeli di mana boleh berhenti di depan kedai walaupun di laluan sempit. Di tambah pula memudahkan untuk pergi ke semua tempat maklumlah tempat ini besar dan tentu letih jika hendak berjalan.

Aku pun sebenarnya sudah letih membawa motor dengan cuaca panas. Kadang-kadang aku tidak pasti adakah aku sudah pergi ke semua tempat di dalam ‘Golden Gate Market. Banyak kasut-kasut dan selipar berjenama yang dijual dengan harga yang murah.

Antara selipar jenama yang aku kenal TEVA dijual dengan harga RM 40 murahkan dan keadaannya seperti Raja Ema. Aku tidak beli kerana aku sayang duit aku dan memikirkan bajet aku sekiranya tidak cukup untuk trip IndoChina ini.

Kawasan ini dibahagikan mengikut barang seperti kasut, pakaian, cenderamata dan lain-lain lagi. Setiap kawasan  dan ceruk aku masuk sampai ke dalam dengan motosikal. Yang menarik adalah kawasan kasut di mana terdapat banyak perusahaan kasut bundle di situ. Di setiap kedai ada pekerja yang sedang gam kasut, ada yang sedang cuci kasut dan menjemur kasut.

Siapa yang pernah membeli kasut bundle tahulah bagaimana keadaan kasut bundle itu nampak baru dan elok malah tapak kasut yang digam pun boleh tahu. Aku merasakan kalau aku buat business bundle kasut mesti boleh jadi kaya.

Ikuti sambungan seterusnya PENAKLUKAN INDOCHINA pada setiap Isnin dan Rabu jam 8.30 PM.

Ikuti sambungan seterusnya PENAKLUKAN INDOCHINA pada setiap Isnin  jam 8.30 PM.

84 total views, 1 views today


Related Post

Leave a Reply

%d bloggers like this: