Penaklukan Indochina 28 Hari : Part 4

Hotel Mewah Dan Mahal

Wow! Cantik sungguh hotel ini rupanya. Hotel Sokka ini antara hotel yang termahal di Kemboja. Dalam sejarah hidup aku ini kali kedua aku dapat merasai hotel yang mahal sebegini dengan pelbagai kemudahan.  Setiap kali menghidupkan televisyen akan keluar tulisan ucapan dan nama sebagai mengalu-alukan kedatangan aku ke hotel ini. Selain itu roof top hotel yang sangat cantik dan boleh melihat sebahagian bandar Phnom Penh dari pandangan atas bangunan hotel.

Walaupun aku diberikan kemudahan hotel yang mewah tetapi ada tugasan yang perlu aku laksanakan di mana aku ditugaskan sebagai pengurus media online untuk muka rasmi Facebook  Asian Youth Council (AYC)  sempena program Asian Youth Forum (AYF)  dan antara perkara penting yang berlaku pada hari itu adalah perlantikan Setiausaha Agung AYC adalah dari Malaysia.

Agak mencabar juga apabila pertama kali diberi tanggungjawab  untuk mengemaskini maklumat dan kegiatan AYF di dalam Facebook dengan menggunakan ipad. Aku tiada pengalaman namun aku cuba lakukan yang terbaik. Ada satu ketika semasa  Presiden Kemboja Hun Sen masuk ke dalam hotel untuk perasmian, aku cuba mengejar Presiden Kemboja untuk mengambil gambar lalu di tegur oleh pegawai kerajaan Kemboja kerana memijak karpet merah. Aku cuba mengikuti beliau dari belakang ke bilik menunggu untuk mengambil gambar semasa sesi memperkenalkan ahli jawatan kuasa AYC, namun aku tidak dibenarkan masuk kerana diberitahu sudah penuh. Ketika itu aku rasa kecewa dan salah seorang sekretariat bagi wakil Kerajaan Kemboja memaklumkan kepada aku akan memberi gambar oleh jurugambar rasmi mereka.

Perdana Menteri Kemboja

Ini pengalaman baru untuk membuat liputan secara lansung, tetapi dengan berkat pengalaman dalam sosial media dan menulis blog sedikit sebanyak membantu aku untuk membuat liputan. Selain daripada aktiviti forum dan perbincangan di dalam hotel,  semua peserta dibawa melawat Russian Market dan Central Market yang amat terkenal di kalangan rakyat tempatan dan pelancong asing.  Russian Market terkenal dengan barang-barang lusuh dan sukar didapati seperti spare part motor yang boleh dibina sehingga menjadi sebuah motor. Manakala di Central Market lebih tersusun dan selesa berbanding Russian Market. Sesetengah barang yang sama boleh ditemui di kedua-dua tempat.

Sempat juga aku snap gambar seorang yang gadis yang penjual barang kemas di Central Market. Pandai mereka ini meletak gadis-gadis cantik sebagai pelaris. Makcik di situ memberi petua “Kalau cari cincin cari yang tahan lama, kalau original tidak tahan lama kilauannya dan kalau jenis kaca sentiasa cantik dan berkilau. Sama seperti mencari pasangan, mesti mau cantikkan sama cincin”. Aku hanya mengiyakan sahaja seolah-olah setuju apa yang makcik itu cuba sampaikan. Program AYC ini melibat lebih kurang  70 peserta dari pelbagai negara Asia. Program berakhir pada hari ketiga malam dan keesokan pagi aku perlu check out awal kerana ada tugasan sukarelawan di Pusat Islam Kemboja.

Selesai sahaja check out dan sarapan pagi aku terus menaiki van transit bersama kumpulan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) ke bangunan pejabat Mufti Kemboja. Perjalanan mengambil masa 30 minit dari bandar Phnom Penh. Sedikit tentang pejabat ini di mana menjadi pusat bagi aktiviti keagamaan Islam. Selain itu, pejabat Mufti Kemboja adalah majlis tertinggi atau badan tertinggi mewakili persatuan dan organisasi Islam di Kemboja.

Banyak perkara yang mereka kongsi semasa sesi soal jawab di antara pihak IKSIM dan barisan pengurusan pejabat Mufti Kemboja. Kebanyakan komuniti Islam di Kemboja hidup di paras kemiskinan. Selama hampir 15 tahun selepas kemerdekaan Kemboja, mereka tidak mendapat bantuan apa-apa dari kerajaan. Oleh itu mereka amat memerlukan kita untuk membantu mereka dalam apa jua yang boleh disumbangkan.

Senario ini menyebabkan anak-anak belia Islam Kemboja ini tidak berminat hendak belajar sebaliknya banyak mengikut arahan keluarga seperti menolong berniaga atau di bendang. Mengikut apa yang disampaikan, taraf pendidikan mereka paling tinggi adalah sehingga sekolah menengah. Manakala bilangan pelajar Islam di universiti dalam lingkungan 1000 orang sahaja. Ini adalah disebabkan ketidakmampuan keluarga untuk menyediakan kewangan untuk anak-anak mereka belajar sehingga ke peringkat universiti.

Selepas pengenalan dan sesi soal jawab rombongan kami dijemput ke rumah Mufti Kemboja sambil menunjukkan asrama perempaun anak yatim yang daif. Asrama yang baru masih dalam pembinaan dan menurut Mufti Kemboja harga tanah di Phanom Penh agak mahal. Oleh itu mereke memerlukan bantuan daripada umat Islam dari segi wang dan lain-lain bagi mengembangkan syiar Islam. Yang membuat aku kagum adalah kerajaan Kemboja mewujudkan menteri  khas yang menjaga kebajikan dan pembangunan Islam di Kemboja walaupun penduduk Islam di sini adalah minoriti. Secara tidak lansung kerajaan Kemboja sekarang masih cakna akan hal ehwal orang Islam di sini.

Ikuti sambungan seterusnya PENAKLUKAN INDOCHINA PART 4 pada setiap Isnin  8.30 PM.

Related Post

Leave a Reply

%d bloggers like this: