Penaklukan Indochina 28 Hari : Part 5

Si Pereka Dalaman

Selesai sahaja urusan kerja aku dengan aktiviti belia dan kesukarelawan, ini lah masa sebenarnya untuk aku berjalan sendiri secara solo. Sebenarnya aku tidak membuat perancangan lengkap kerana pada bulan satu dan dua aku sangat sibuk dengan pelbagai urusan dan kerja. Aku tidak sangka selepas aku meletak jawatan banyak perkara yang perlu aku uruskan hingga aku terlalu sibuk dan tiada masa untuk memikir tentang trip IndoChina ini.

Yang aku sempat meracang dalam sehelai kertas A4 adalah tempat yang ingin aku lawati, pengangkutan yang akan aku gunakan dan kos perbelanjaan. Sebenarnya aku tidak merancang sangat untuk trip ini tetapi entah mengapa apa yang aku rancang aku tidak ikut kerana aku merasakan seperti tiada kebebasan. Akhirnya aku ikut sendiri go with the flow.

Selesai sahaja makan tengah hari aku mengucap selamat tinggal kepada rakan-rakan aku yang terlibat dalam AYF dan lawatan ke Pejabat Mufti Kemboja. Mereka memberhentikan aku di Central Market. Inilah masa untuk aku bergerak sendiri. Aku akan berjumpa kawan aku pada petang itu yang bernama Sambo. Aku mengenali dia semasa bersama dalam Program Pertukaran kapal Belia Antarabangsa (SSEAYP) pada tahun 2010.

Setelah berwhatsaap dengan dia di mana mulanya dia menawarkan tempat tinggal di rumahnya, namun disebabkan kesibukan kerja dia tidak dapat penuhi. Dia akan tolong carikan aku tempat tinggal tetapi aku perlu tunggu petang baru dia free. Aku menunggu dengan penuh sabar dan aku tidak berdaya lagi hendak berjalan dengan beg yang berat.

Berdasarkan peta, aku berada berdekatan Central Market dan barhampiran Sungai Tonle Sap. Ramai pelancong tinggal berhampiran Sungai Tonle Sap kerana di situ terdapat pelbagai jenis restoran, hostel dan kemudahan lain.

Lama juga aku menunggu dia, jam lebih kurang 3.30 petang baru dia sampai. Aku dibawa ronda-ronda di sekitar bandar Kemboja dengan menggunakan kereta. Aku dapat merasakan bandar ini rupa-rupanya besar juga, mungkin lebih besar dari bandar Shah Alam. Dia menunjukkan pusat membeli-belah yang terbesar di Kemboja dan tidak silap aku lebih kurang besar AEON Mall Shah Alam.

Sambil itu dia mencadangankan aku pergi Teo Sleng Prison (Genocide Museum) berbanding Kiling Fields. Dia sendiri menceritakan bahawa dia takut berada lama di dalam sana dan meremang bulu tangan dia katanya. Sambil itu dia berkongsi cerita-cerita politik di Kemboja. Dia tidak ambil peduli sangat akan hal-hal politik kerana bagi dia politik ini banyak rasuah dan hanya bijak berkata-kata.

Malam itu aku dibawa ke restoran Lebanon memandang dia tahu aku ini Muslim dan memerlukan makanan halal. Agak mahal makanan halal di situ dan biasa aku akan order lebih kurang sama apa yang mereka order kerana aku tidak mahu membebankan mereka.

Selain dari Sambo, kawan baik dia bersama teman wanita juga ikut sekali. Rupa-rupanya kawan Sambo itu aku pernah jumpa semasa aku bawa mereka berjalan-jalan di Kuala Lumpur  sebelum ini. Mereka berdua adalah graduan Universiti Lim Kok Wing Cyberjaya dari bidang yang berbeza. Sekarang ini Sambo adalah seorang pereka dalaman manakala kawan baiknya adalah pengusaha bar dan tatoo.

Dari Restoran Lebanon, kami beralih ke Restoran Riverside kerana Sambo memberitahu dia masih lapar.Terpegun aku melihat restoran ini “Cantik juga restoran ini” kata hati aku. Inilah rupanya restoran yang sering diperkatakan oleh kawan-kawan Malaysia aku kerana restoran ini menyediakan makanan halal.

Dekorasi restoran sangat cantik dengan elemen-elemen ukiran kayu bermotifkan budaya orang Kemboja dan di tambah dengan pancuran air di tengah-tengah restoran. Selain itu lampu yang separuh malap dan mengadap Sungai Tonle Sap sangat mendamaikan.

Aku hanya memesan nasi putih dan berkongsi lauk Tom Yam. Tom Yam di Phanom Penh berbeza dengan apa yang aku rasa di Thailand di mana Tom Yam Kemboja manis berbanding Tom Yam Thailand yang pedas. Sambo memberitahu aku bahawa di Phnom Penh terdapat makanan ganja seperti di Amsterdam iaitu ‘Happy Pizza’. Aku bertanya  “Is it real?” dan lalu Sambo menjawab “Yes, when you eat Happy Pizza you will feel happy”.

Di sebelah kiri adalah Sambo Si Pereka Dalaman

Kami semua gelak sakan. Tetapi dia tidak menunjukkan aku di mana untuk mendapatkan Happy Pizza dan aku pun tida berniat untuk tahu.

Dari restoran itu aku dan Sambo ke Night Market yang tidak jauh dari situ. Kawan baiknya dan bersama teman wanita itu tidak ikut serta. Tiada apa yang menarik di Night Market sama seperti uptown di Malaysia. Pelbagai jualan cenderamata dan pakaian ada dijual di sana. Aku tidak membeli apa-apa sebaliknya hanya window shopping sahaja.

Cuma yang aku nampak unik adalah di kawasan gerai makanan di mana pelanggan akan makan bersila seperti piknik beralas kanvas yang disediakan. Perkara sama juga aku nampak pada hari pertama di waktu petang mereka sudah duduk lepak beralaskan rumput berhampiran Istana Diraja Kemboja.

Sambo mencadangkan hostel kepada aku yang berhampiran dengan bar kawan baiknya yang berharga 4 USD. Mungkin kerana Sambo risaukan keselamatan aku supaya jika berlaku apa-apa masalah boleh rujuk dengan kawan dia. Semasa aku ingin berdaftar aku bertanya  “Do you have dorm for men?”   “No, mix only”  jawab lelaki di kaunter.

Perkara ini aku sudah jangka akan berlaku pada diri aku kerana semasa aku menunggu Sambo petang tadi aku ada tanya beberapa hostel dorm untuk lelaki sebaliknya ada hostel perempuan sahaja.  Ini diskriminasi untuk orang lelaki. Aku tiada pilihan lain jika hendak cari hostel yang lain sudah lewat malam dan aku tidak mahu menyusahkan Sambo.

Ikuti sambungan seterusnya PENAKLUKAN INDOCHINA pada setiap Isnin  jam 8.30 PM.

Related Post

Leave a Reply