Penaklukan Indochina 28 Hari : Part 6 – 3 KILOMETER

Hari ini aku merancang untuk self tour bandar Phnom Penh sepenuhnya dan Sambo tidak ikut serta kerana ada urusan kerja. Aku hanya bergantung dengan peta digital untuk bergerak sekitar bandar Phnom Penh.  Kadang-kadang pening juga lihat peta digital ini kerana kita tidak pasti di mana utara dan selatan tetapi apabila sudah jumpa laluan yang betul semuanya jadi mudah.

Alhamdulillah aku ternampak satu restoran fastfood  mempunyai halal logo iaitu Chicken Deluxe yang mengadap jalan raya berhampiran Sungai Tonle Sap. Selesai sahaja aku terus menuju ke ‘Royal Palace’. Istana Raja atau lebih dikenali sebagai Royal Palace adalah tempat bersemayam Raja Norodom (1834 – 1904). Malangnya tempat itu telah tutup sementara kerana masa operasi untuk sesi pertama ialah 7.30 pagi hingga 11.00 pagi sedangkan aku datang pada jam11.30 pagi. Jika aku ingin pergi juga aku perlu datang pada jam 2.00 petang.

Aku tidak sanggup untuk membuang masa untuk menunggu, lalu aku ke Muzium Kebangsaan Kemboja (Kemboja National Museum). Setiap kali ke negara yang aku lawati aku cuba menjadi muzium lokasi utama yang mesti dilawati. Muzium ini tidak ubah seperti bangunan lama pada zaman kerajaan lama.  Aku kagum dengan ukiran dan seni reka bentuk bangunan. Dengan  bayaran masuk 5 USD aku mengharap muzium ini seperti Muzium Negara di Kuala Lumpur.

Kemboja National Museum

Malangnya ia tidak seperti apa yang aku harapkan. Pada mulanya aku berasa seronok membaca maklumat yang tertera pada aritifak di dalam muzium tetapi makin lama aku berada di situ aku sedar banyak kekurangan yang aku lihat seolah-olah mereka tidak memelihara dengan baik. Dalam muzium ini banyak memaparkan artifak lama dan patung-patung Buddha yang wujud sewaktu zaman kerajaan lama. Sebahagian sejarah Angkor Wat ada diceritakan di sini.

Aku meneruskan perjalanan aku menuju ke Tuol Sleng Genocide Museum atau lebih dikenali sebagai Penjara ST 21 dikalangan orang tempatan. Sepanjang aku berjalan kaki menuju ke muzium, baru aku faham mengapa Sambo memberitahu bahaya menaiki motorsikal di Phnom Penh kerana mereka memandu tanpa mengikut peraturan seperti tidak berhenti walaupun lampu trafik sudah merah. Tetapi  disebalik sikap negatif pemandu motorsikal, bagi pemandu kenderaan lain apabila mereka bertembung di simpang empat atau bulatan mereka akan memperlahankan kenderaan dan menekan hon sebagai isyarat mereka hendak lalu atau sila beri laluan.

The Independence Monumen

Aku lihat selalunya yang memandu motorsikal dalam keadaan huru-hara dan laju adalah budak-budak muda. Apabila sampai Monumen Kemerdekaan (The Independence Monumen) aku mula kepenatan dan ditambah dengan cuaca panas  lagi. Aku mula rasa menyesal berjalan kaki dan terdetik dalam hati aku “Mengapalah aku tak sewa basikal atau motor”. Aku mengambil beberapa keping gambar monumen dan Memorial Sihanouk King Norodom kemudian meneruskan perjalanan ke muzium.

Memorial Sihanouk King Norodom

Apabila sampai ke satu simpang aku mula rasa malas untuk berjalan kerana kepenatan dan kelaparan. Sarapan pagi tadi cukup untuk memberi tenaga kepada aku untuk sementara sahaja. Walhal aku rasa dalam 400 meter lagi akan sampai tetapi aku rasa masih jauh lagi. Aku terus gagahkan diri berjalan walaupun penat dan cuaca masih panas. Aku singgah sebentar ke kedai untuk membeli Redbull bagi membasahkan tekak dan sambil meneruskan perjalanan untuk melihat sekolah yang telah diubah menjadi penjara ketika zaman pemerintahan Pol Pot.

Pol Pot adalah seorang pemimpin yang mengasaskan kumpulan Komunis Khmer Rouge dari tahun 1975 hingga 1979. Pada tahun pemerintahan beliau, seramai 1.5 juta rakyat Kemboja mati kebuluran akibat pelbagai seksaan dan tekanan kerja melampau. Setelah berjalan 45 minit ditambah dengan sesat akhirnya aku sampai di Penjara ST 21. Dari pintu masuk aku dapat membayangkan seolah-olah aku masuk di tempat yang berpuaka. Aku melihat pelancong yang menggunakan kemudahan audio tour cuba memahami maklumat yang disampaikan melalui alat tersebut.

Aku tidak dapat membayangkan bagaimana kejamnya kerajaan komunis Khamer Rouge pimpinan Pol Pot membunuh dan menyeksa orang yang tidak bersalah. Selama empat tahun rakyat Kemboja diseksa dengan kejam dari tahun 1975 hingga 1979. Sasaran mereka adalah ahli akademik dan golongan yang tidak menyokong mereka. Bagi mereka pertanian adalah sumber utama mereka. Maka mereka mengerah dan memaksa semua tahanan sebagai buruh paksa mengerjakan sawah padi dan pelbagai aktiviti pertanian.

Struktur bangunan itu masih utuh seperti keadaan asal tanpa sebarang perubahan. Asal bangunan ini adalah sebuah sekolah yang telah diubah menjadi penjara. Terdapat 4 blok utama dan setiap blok mempunyai fungsi yang berbeza. Aku berasa sedih dan pilu melihat kesan katil besi yang menjadi tempat seksaan tahanan. Bilik penjara yang sangat sempit menyamai selebar separuh depa. Pelbagai seksaan dikenakan kepada tahanan antaranya kepala direndam dengan kaki diikat ke atas, renjatan elektrik, kuku di tarik dan pelbagai seksaan lagi.

Mungkin rezeki aku baik, aku dapat bertemu dengan bekas tahanan yang masih hidup. Disebabkan dia mempunyai kemahiran melukis dia dipanggil untuk melukis gambar pemimpin komunis sepanjang dia ditahan di penjara. Dia berada di sini untuk mempromosikan buku pengalaman dia sepajang dia ditahan dalam penjara. Aku rasa mungkin menjual buku adalah salah satu punca pendapatan dia sekarang

Pintu Gate Istana Raja Norodom Sihamoni

Ikuti sambungan seterusnya PENAKLUKAN INDOCHINA PART 7 pada setiap Isnin  8.30 PM.

 

Related Post

2 Comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: