Pengalaman di Brunei

Penulisan yang akan saya kongsikan pada kali ini adalah berdasarkan pengalaman saya sepanjang berada di Brunei Darussalam, iaitu sebuah negara yang juga dikenali sebagai “Serambi Mekah” selain negeri Aceh yang telah saya lawati pada akhir Disember 2015 yang lalu.

Di samping berkongsi pengalaman tempat tarikan utama yang telah saya lawati, secara tidak langsung para pembaca dapat mempelajari dan mengetahui sejarah, seni dan budaya di negara “Serambi Mekah” ini.

Dari KL-KLIA2 saya bergerak secara solo dan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), perjalanan saya selama dua hari ke Brunei akan dibawa oleh sahabat Brunei saya yang baru sahaja saya kenali sekitar Ogos yang lalu. Pada hari ketiganya, saya bergerak secara solo untuk melawat lagi beberapa buah tempat yang belum selesai saya lawati.

Sabtu, 20 Februari 2016 (Hari Pertama)

  • Dari KL Sentral, saya menaiki bas ke KLIA2 dengan kadar tambang RM 11.00
  • Tempoh perjalanan kebiasaannya mengambil masa lebih kurang 40-45 minit untuk sampai di KLIA2.
  • Saya memilih alternatif dengan menaiki bas kerana faktor harga tambangnya yang lebih murah dan menjimatkan kos.

1. Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei

DSC_1338

  • Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 4.15 petang dan perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam.
  • Borang “Deklarasi Kastam” bersama “Kad Ketibaan Penumpang” wajib diisi oleh setiap pelancong sebaik sahaja tiba di lapangan terbang. Bagi borang “Deklarasi Kastam”, sekiranya datang ke Brunei dalam satu keluarga, memadai hanya 1 keluarga mengisi 1 borang.
  • Borang “Deklarasi Kastam” bersama “Kad Ketibaan” akan diserahkan di kaunter urusan passport antarabangsa sebaik sahaja selesai diisi.
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah satu-satunya lapangan terbang yang terdapat di Brunei Darussalam.
  • Jika dilihat, setiap ‘signboard’ banyak antaranya ditulis dengan perkataan jawi. Suasananya seperti berada di Kelantan.
  • Selesai urusan passport, kedatangan saya disambut baik oleh sahabat Brunei saya sebaik sahaja sampai di pintu ketibaan.

2.Jabatan Perdana Menteri (JPM)

DSC_1353

  • Jabatan Perdana Menteri (JPM) terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).
  • Jika di Malaysia, JPM juga diberi nama yang sama. Cuma di Malaysia, bangunannya terletak di Putrajaya. Di Brunei pula, terletak di Jalan Jabatan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan.
  • Fungsi Jabatan Perdana Menteri di Brunei ini berperanan dalam pembentukan dan pelaksanaan sesuatu dasar dan merupakan pusat bagi pengurusan dan pentadbiran Kerajaan dan Perkhidmatan Awam.

3. Masjid Ash-Shaliheen

DSC_1386

  • Selesai bergambar di Jabatan Perdana Menteri, saya dibawa oleh sahabat Brunei saya ke sebuah masjid yang ruang dalamnya seakan-akan seperti di Morocco.
  • Masjid ini terletak berdekatan dengan LTAB dan juga di Jabatan Perdana Menteri.
  • Saya singgah di masjid ini bagi menunaikan solat jamak dan qasar, dan kebetulan sahabat saya belum mengerjakan solat Asar.
  • Di sini waktu solatnya agak cepat berbanding di Semenanjung Malaysia.
  • Waktu solat di Brunei seperti waktu solat di Sabah dan Sarawak. Awal 1 jam di Semenanjung.

DSC_1368

  • Ruang dalamnya cukup selesa termasuk di ruang solat dan juga di tandas.
  • Sebarang gambar dan rakaman video adalah tidak dibenarkan semasa berada dalam masjid. Hanya dibenarkan di luar perkarangan masjid sahaja.
  • Sahabat saya pernah menceritakan pengalamannya yang beliau pernah ditegur oleh seorang pak cik kerana mengambil gambar di dalam masjid. Sebelum masuk masjid, sahabat saya ini dah pesan awal-awal jangan ambil gambar dalam masjid. Tapi, saya ‘senyap-senyap’ ambil gambar dalam ruangan masjid.

4. Taman Rekreasi Persiaran Damuan

DSC_1398

  • Selesai solat, seterusnya kami ke Taman Rekreasi Persiaran Damuan yang terletak di Jalan Tutong berdekatan dengan lokasi dimana terletaknya Istana Nurul Iman. Dari taman ini akan ternampak pemandangan Istana Nurul Iman.
  • Kebiasaannya, aktiviti riadah seperti ‘jogging’, senaman dilakukan di sini. Di sekitar taman ini juga terdapat sebuah tasik dan terdapat beberapa arca didirikan yang dinamakan sebagai Taman Arca Asean.

DSC_1420

  • Arca adalah sejenis seni berbentuk tiga dimensi atau dipanggil seni ‘3D’. Antara jenis arca yang ada, antaranya “Matlamat Asean”, “Penjelmaan Kubah”, “Keunggulan Brunei”, “Gambaran Bersatu”, dan “Pergerakan” yang mempunyai lambang dan maksudnya tersendiri.
  • 6 arca mewakili 6 negara iaitu Brunei, Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan juga Thailand. Hanya 3 buah arca sahaja yang sempat diambil gambar daripada 6 arca yang ada memandangkan saya dan sahabat bergegas ke Istana Nurul Iman sebelum masuk waktu Maghrib.

DSC_1395

  • Masa sampai di sini, saya ternampak beberapa buah bot yang  membawa penumpang. Kata sahabat saya, bot tersebut membawa penumpang untuk melihat monyet Proboscis.
  • Bayaran untuk ke sana dengan menaiki bot hampir cecah beratus sekiranya ditukar kepada Ringgit Malaysia (RM).

5. Istana Nurul Iman

DSC_1435

  • Selepas ke Taman Rekreasi Persiaran Damuan, saya dan sahabat Brunei saya ke Istana Nurul Iman.
  • Istana ini terletak di Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
  • Istana Nurul Iman ini merupakan kediaman rasmi Sultan Brunei dan keluarga. Pejabat-pejabat Perdana Menteri juga terletak di sini.
  • Kata sahabat saya, istana ini sentiasa ditutup dan hanya dibuka dan boleh dikunjungi apabila menjelang perayaan Hari Raya.
  • Istana Nurul Iman merupakan istana yang terbesar di dunia.
  • Saya hanya mengambil gambar di luar sahaja dan kami terus ke Masjid Sultan Brunei untuk menunaikan solat Maghrib di sana memandangkan jam sudah menunjukkan 6.10 petang.

6. Masjid Jame’ Asr Hassanal Bolkiah

DSC_0040

  • Saya lebih mudah panggil masjid ini dengan panggilan “Masjid Sultan Brunei”.
  • Sahabat saya solat Maghrib, dan saya tunaikan solat jamak dan qasar kebetulan dah sampai di Masjid.
  • Jam 6.30 petang di sini, menandakan telah masuknya waktu solat fardhu Maghrib.
  • Masjid ini dibina pada tahun 1992, dan diberi nama sempena nama Sultan Brunei yang ke-29; Sultan sekarang.

DSC_0006

  • Lampu yang berwarna-warni mewakili 5 waktu solat; Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’ dan ada pendapat mengatakan 29 anak tangga mewakili Sultan brunei yang ke-29.
  • Di pintu gerbang utama akan terlihat sebuah eskalator untuk menaiki ke masjid. Eskalator ini dikhaskan hanya kegunaan untuk Sultan Brunei sahaja.

DSC_0048

  • Di masjid ini saya berkesempatan merasai salah satu kuih tradisional Brunei yang dipanggil “Celurut”. Sedap juga rasanya.

DSC_1465

  • Masjid ini boleh dilawati oleh pengunjung yang bukan Islam. Namun terdapat waktu yang telah dijadualkan untuk sebarang lawatan dan terdapat peraturan yang perlu dipatuhi bagi pengunjung bukan Islam.
  • Etika pemakaian hendaklah menutup aurat dan jubah juga disediakan. Sebarang gambar dan video tidak dibenarkan diambil apabila berada di dalam masjid. Saya ‘senyap-senyap’ juga ambil gambar, kebetulan tak ramai yang ada di perkarangan masjid waktu itu.
  • Masjid ini ditutup untuk pelawat yang bukan Islam terutamanya semasa persediaan dan sambutan berkenaan dengan keagamaan (Islam).

DSC_0057

  • Saya berkesempatan melihat pemandangan luar di Masjid ini pada waktu malam. Memang cantik.

DSC_0029

  • Di luar perkarangan ini dibina sebuah laluan “Shoe-Deposit Walkway (North)” dimana laluan ini dikehendaki menanggalkan kasut apabila melalui laluan ini.

7. Restoran Aminah Arif

DSC_0070

  • Saya dibawa oleh sahabat saya ke Restoran Aminah Arif untuk makan malam di sini. Restoran ini di ‘recommend’ oleh sahabat saya kerana menu Ambuyat-nya.
  • Restoran Aminah Arif popular dalam kalangan masyarakat Brunei dan terdapat beberapa cawangan di sekitar Brunei.
  • Saya dibawa ke cawangan Kiulap, berdekatan di Gadong Mall dan Pasar Gadong.

DSC_0064

  • Ambuyat adalah sejenis makanan tempatan Brunei yang berasal dari sagu rumbia.
  • Hidangan ambuyat kebiasaannya dimakan atau di cicah bersama beberapa jenis lauk. Disebabkan ini pertama kali mencuba hidangan Ambuyat, saya biarkan sahabat saya yang memilih hidangan lain yang dicicah bersama Ambuyat. Cuma, saya kata saya nak Tumis Belacan. Kebetulan, saya penggemar dan sukakan sambal belacan.
  • Menu hidangan Ambuyat kami dimakan bersama Daging Urat Tumis, Ikan Goreng, Cacah binjai bersama Sayur Pilihan iaitu Tumis Kangkung dan juga Tumis Belacan.

DSC_0062

  • Jumlah hidangan Ambuyat juga berbeza mengikut harga yang ditetapkan. Jika dua orang makan, harganya cuma BND 16.00.
  • Jumlah keseluruhan termasuk minuman untuk dua orang, sebanyak BND 20.20.
  • Restoran Aminah Arif juga terdapat laman web yang boleh dikunjungi di aminaharif.com

8. Brunei Souvenirs & Gift Shops di Gadong

DSC_0075

  • Sahabat saya bawa ke sebuah kedai cenderamata yang terletak di sekitar Gadong.
  • Saya lihat banyak jenis cenderamata dijual di sini dan harganya boleh kata  berpatutan dan harganya ‘standard’ di jual di kedai-kedai lain.
  • Paling murah saya beli poskad dengan harga BND 0.80 dan paling mahal saya beli adalah keychain dengan harga BND 1.80
  • Jumlah kos perbelanjaan saya untuk cenderamata (souvenir) adalah sebanyak BND 2.60
  • Kebiasaannya cenderamata saya beli dengan kuantiti yang sedikit, mengikut kadar kemampuan, dan selagi boleh jimat, saya jimatkan kos belanja cenderamata.
  • Tambahan mata wang di Brunei menggunakan mata wang ‘Dollar’, terasa juga mahalnya walaupun harganya BND 2.00.

9. Gadong Mall

DSC_0078

  • Selesai beli cenderamata, kemudian kami ke Gadong Mall. Jalan-jalan melihat suasana pusat membeli belah di sini.
  • Gadong Mall merupakan sebuah pusat membeli belah terbesar di Gadong.
  • Sesiapa yang ke Brunei, jika diteliti, tak banyak pusat membeli belah yang ada di Brunei.
  • Pusat membeli belah yang terkenal di Brunei adalah di Gadong Mall dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
  • Sewaktu berjalan di sekitar Gadong Mall, sahabat saya tunjukkan pada saya sebuah butik ‘Tenunan Brunei’ dan saya berkesempatan melihat hasil tenunan songket Brunei.
  • Harga tenunan songket yang saya lihat ada yang hampir mencecah ratusan dan terdapat juga ribuan Brunei Dollar.
  • Di Gadong Mall, tiada sebarang perbelanjaan dibuat dan destinasi terakhir kami seterusnya ke Pasar Gadong.

10. Pasar Gadong

DSC_0081

  • Pasar Gadong merupakan satu tempat yang harus dilawati jika berkesempatan singgah di Gadong.
  • Harga makanan dan juga minuman disini rata-ratanya saya lihat dijual oleh peniaga dengan harga BND 1. Saya ingat esoknya, untuk makan malam hanya beli makanan disini sahaja, memandangkan harga yang dijual disini murah dan menjimatkan kos.
  • Kata sahabat saya, dengan BND 5, dah rasa puas beli makanan di Pasar Gadong.
  • Sahabat saya beli Laksa yang dijual oleh orang Malaysia. Saya ada tanya dengan sahabat saya semasa dalam kereta tentang makanan apa yang beliau suka di Malaysia. Katanya, “Laksa Johor, Laksa Penang.”
  • Masa sahabat saya pergi ke gerai yang menjual Laksa, hanya tinggal satu mangkuk sahaja Laksa yang dijual. Betul-betul laku laksa orang Malaysia rupanya.
  • Saya tak pasti nak beli apa, saya beli kuih yang dipanggil “Takis” perisa kaya dengan harga BND 1.
  • Takis sedap dan elok dimakan sewaktu masih panas. Bila dah sejuk, tak sedap untuk dimakan.

11. Pusat Belia @ Youth Hostel

DSC_0656

  • Setelah penat berjalan, akhirnya saya sampai di penginapan yang saya akan menginap selama dua hari.
  • Kali ini saya menginap di hostel atau dipanggil asrama. Penginapan wanita dipanggil Asrama Puteri.

DSC_0083

  • Saya menginap di satu bilik yang terdapat 4 katil. Tandasnya pula terletak di luar.

DSC_0641

  • Di sini terdapat juga kemudahan kafe, kolam renang. Namun peralatan peribadi tidak disediakan seperti tuala, selipar, sabun, seterika dll. Peralatan peribadi perlu dibawa sendiri.
  • Harga untuk satu malam hanya BND 10. Saya bayar selama dua malam, jumlahnya menjadi BND 20, bersamaan RM 60.

DSC_0646

  • Bagi menjimatkan kos dan sesiapa yang ingin mencari tempat penginapan bajet, saya boleh cadangkan untuk menginap di Pusat Belia sahaja, jika dibandingkan tempat penginapan di hotel yang jauh lebih mahal harganya untuk satu malam.
  • Pusat Belia diselia oleh Kerajaan dibawah Kementerian Belia dan Sukan.
  • Tempat-tempat tarikan utama seperti Royal Regalia Museum, Pusat Sejarah Brunei, lokasi dimana terletaknya Menara Jam, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddeen, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pasar Tamu dan juga ambil teksi air ke Kampong Ayer dari Pusat Belia sangat dekat, dengan hanya berjalan kaki sahaja.

Ahad, 21 Februari 2016 (Hari Kedua)

12. Restoran Soto Pabo

DSC_0128

  • Jam 9.40 pagi, saya, dan dua orang lagi sahabat Brunei saya, tiba di Restoran Soto Pabo untuk sarapan pagi di sini.
  • Kata sahabat saya, kebiasaannya ramai orang yang datang makan di restoran ini.

DSC_0116

  • Restoran ini terletak di Simpang 222, Kg. Pintu Malim, Mukim Kota Batu, yang terletak berdekatan dengan Makam Sultan Bolkiah dan Perkuburan Lama Kota Batu.
  • Dari restoran ini, akan kelihatan terdapat perkampungan air di hujung sana dan untuk sampai ke sana, perlu menaiki bot.

DSC_0099

  • Saya cuba merasai menu Soto Daging Biasa yang harganya cuma BND 2.50 dan minuman pula, saya order minuman Oren Ping dengan harga BND 1.00. Memang sedap.

13. Taman Arkeologi Kota Batu

  • Selesai makan, kami meneruskan perjalanan seterusnya ke Makam Sultan Bolkiah. Tidak jauh dari Restoran Soto Pabo.
  • Makam Sultan Bolkiah ini terletak di dalam satu kawasan yang dinamakan Taman Arkeologi Kota Batu, dan di dalam kawasan ini terdapat juga tapak-tapak sejarah yang boleh dilawati selain Makam Sultan Bolkiah, antaranya, Makam Sultan Sharif Ali, Kompleks Kota Batu 1, Tapak Perkuburan Lama, Tapak Kota Batu 2, Tambak Tanah Kota Batu 3 dan juga Pulau Terindak.
  • Saya dan 3 sahabat Brunei saya berkesempatan hanya melihat Makam Sultan Bolkiah, Makam Sultan Sharif Ali dan juga Kompleks Kota Batu 1.

14. Makam Sultan Bolkiah

DSC_0157

  • Di Taman Arkeologi, saya dan sahabat Brunei saya menziarahi Makam Sultan Bolkiah dahulu.
  • Jalannya di lengkapi laluan yang disediakan dan disini kawasannya berbukit untuk melawati tempat-tempat yang ada di sekitar Taman Arkeologi ini. Untuk ke Makam Sultan Bolkiah, hanya menggunakan tangga yang disediakan.
  • Bila sampai di sini, terdapat peraturan taman yang perlu diikuti khususnya apabila berada di kawasan makam dan tapak perkuburan lama.
  • Perjalanan saya ke Brunei tidak sempurna, sekiranya tidak berkunjung ke Makam Sultan Bolkiah selepas membaca sejarah atau riwayat mengenai Sultan Bolkiah selepas membuat rujukan di laman web.

DSC_0160

  • Makam ini berbumbungkan bentuk kubah dan berunsurkan seni bina Islam.
  • Di sinilah Sultan Bolkiah di makamkan yang merupakan Sultan Brunei yang ke-5 dan cucu kepada Sultan Syarif Ali berketurunan daripada Saidina Hassan Bin Ali Bin Abi Talib.
  • Pada zaman pemerintahan Sultan Bolkiah, kekuasaan negeri Brunei telah meluas dan meliputi seluruh Pulau Borneo suatu ketika yang dahulunya sebelum dipanggil Pulau Borneo adalah Pulau Brunei.
  • Sultan Bolkiah gemar mengembara di pulau jajahan takluknya sambil membawa gendang dan kecapi, alat-alat permainan di raja, dan Sultan Bolkiah dinamakan oleh rakyatnya sebagai “Nakhoda Ragam”.
  • Dan yang menariknya, selepas pembacaan saya di papan info, Sultan akan membawa lada hitam setiap kali singgah di tempat jajahan takluknya dan ditaburkan sebiji lada hitam sehingga habislah segantang lada hitam tersebut sebagai tanda keluasan Sultan Bolkiah.
  • Kematian Sultan Bolkiah terdapat banyak pendapat. Kematiannya dicatatkan sewaktu perjalanan balik ke Brunei bersama isterinya, Puteri Laila Menchanai.

15. Tapak Kota Batu 1

DSC_0188

  • Selesai ziarah Makam Sultan Bolkiah, saya terus memasuki Kompleks Kota Batu 1 melihat apa yang terdapat di sana.

DSC_0191

  • Dalam kompleks ini sebenarnya terdapat beberapa artifak seperti batu nisan, peralatan kayu bagi pengkuburan, tembikar pada zaman dahulu kala, wang syiling Islam dan lain-lain hasil daripada penggalian pada tahun 1986-1997.
  • Kompleks ini berbumbungkan tiga tingkat bumbung. Pintu masuk ke kompleks terletak di sebelah selatan.
  • Kompleks permakaman ini dipercayai terdiri daripada 5 pembesar-pembesar negara.

16. Tanah Perkuburan Lama

DSC_0184

  • Berdekatan makam Sultan Bolkiah, pastinya pengunjung akan melalui Tanah Perkuburan ini.
  • Di dalamnya terdapat 9 buah kubur lama dan 2 daripadanya diperbuat daripada batu granit dengan tambak-tambak berbentuk kepingan yang serupa dengan tambak Makam Sultan Omar Ali Saifuddin 1.
  • Perkuburan ini dipercayai bertarikh abad ke 15-16 masihi berdasarkan penemuan tembikar di perkuburan ini.

17. Pusat Informasi Taman Arkeologi Kota Batu

DSC_0239

  • Saya singgah di Pusat Informasi Taman Arkeologi Kota Batu untuk mendapatkan maklumat yang ada di sekitar taman ini.
  • Brosur, poster, pameran bahan artifak terdapat dalam pusat informasi ini.
  • Pusat Informasi ini dibangunkan bertujuan untuk memberi penerangan secara ringkas kepada pengunjung sebelum melawat ke tapak arkeologi Kota Batu.

18. Makam Sultan Syarif Ali

DSC_0253

  • Kemudiannya, kami menaiki kereta menuju ke Makam Sultan Syarif Ali. Kemudahan lain, pengunjung juga boleh berjalan kaki ke Makam Sultan Syarif Ali.
  • Sultan Syarif Ali ini adalah Sultan Brunei yang ke-3 sebelum Sultan Bolkiah dilantik menjadi Sultan Brunei.
  • Sultan ini juga disebut sebagai Sultan Berkat dan seorang yang suka beribadah dan merupakan sultan pertama yang berjaya menyebarkan Islam dan pengasas pemerintahan Islam di Brunei.
  • Antara jasa dan sumbangan Sultan antaranya ialah, sultan pertama yang mendirikan masjid di Brunei, iaitu di Kota Batu dan Pulau Chermin, mencipta panji-panji kerjaan yang bersayap 3 yang melambangkan ajaran Islam yang mengandungi “Islam, Iman dan Ihsan” dan Sultan telah mencipta alat kebesaran diraja yang bernama “Tunggul Alama Bernaga” yang melambangkan kebesaran raja tempat rakyat bernaung.
  • Sultan Syarif Ali jugalah yang mewarisi “Pedang Kerajaan Si Bongkok” yang dibawa dari Taif.
  • Yang menarik perhatian saya lagi, Sultan Syarif ini adalah berketurunan Nabi Muhammad SAW dan asalnya dari Taif (Saudi Arabia).

19. Muzium Maritim Brunei Darussalam

DSC_0262

  • Kami meneruskan perjalanan ke Muzium Maritim Brunei Darussalam yang terletaknya agak jauh sedikit daripada Taman Arkeologi dan untuk ke sana perlu menaiki kereta.
  • Muzium ini dibuka pada setiap hari dan tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar atau rakaman video.
  • Seni bina muzium ini direka seakan-akan seperti sebuah kapal, ini menunjukkan peranan kesultanan sebagai pusat perkembangan perdagangan pada zaman dahulu.
  • Muzium ini juga bertindak sebagai rujukan untuk sejarah maritim, dengan peninggalan artifak dan teknologi maritim dari pelbagai era.
  • Misinya adalah untuk memelihara artifak maritim dan menunjukkan negara Brunei adalah sebuah penempatan utama dan pusat perdagangan.
  • Muzim ini dibina dengan kos BND5 juta di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10.

DSC_0263

  • Di luar Muzium ini terdapat beberapa replika rumah di yang terletak di Kampong Ayer. Tiada halangan, saya akan ke Kampong Ayer pada hari ketiga.

DSC_0274

  • Di muzium ini juga terdapat sebuah tasik yang menarik lagi perhatian kami dan kami singgah hanya mengambil gambar di sini.

20. Muzium Teknologi Melayu

DSC_0283

  • Tak jauh dari Muzium Maritim Brunei Darussalam, kami singgah di Muzium Teknologi Melayu pula.
  • Waktu melawat di muzium adalah dibuka pada setiap hari.

DSC_0282

  • Muzium ini dibuka secara rasmi pada 29 Februari 1988 oleh Sultan Brunei ke-29.
  • Muzium ini mempamerkan teknologi tradisi yang digunakan oleh penduduk di Kampong Ayer dan masyarakat tempatan yang tinggal di kawasan darat.
  • Di muzium ini juga terdapat galeri pameran iaitu Rumah Tradisi Kampong Ayer, Teknologi Tradisi Kampong Ayer dan juga Teknologi Tradisi Masyarakat Tempatan Di Kawasan Darat.

DSC_0300

  • Galeri 1 Rumah Tradisi Kampong Ayer mempamerkan 6 buah contoh rumah tradisional yang terdapat di Kampong Ayer iaiatu Rumah Belah Bubung, Rumah Loteng, Rumah Belah Bubung Berserambi, Rumah Potong Limas, Rumah Belanggar dan Rumah Tungkup.

DSC_0321

  • Galeri 2 Teknologi Tradisi Kampong Ayer mempamerkan pelbagai teknologi dan perusahaan tradisi yang terdapat di Kampong Ayer seperti alat menangkap ikan, tenunan, membuat perahu, pembuatan perak dan besi dan pembuatan tembaga.

DSC_0365

  • Galeri 3 iaitu teknologi tradisi masyarakat tempatan di kawasan darat. Ia mempamerkan beberapa jenis teknologi tradisi yang digunakan oleh masyarakat tempatan seperti dalam perusahaan membuat sagu, pemprosesan gula dan penanaman padi. Galeri ini juga mempamerkan contoh rumah tradisional etnik Dusun, Kedayan, rumah panjang etnik Murut dan pondok etnik Penan.

21. Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei

DSC_0383

  • Sebelum perjalanan diteruskan ke Kuala Belait, singgah dahulu ke Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei.
  • Saya diberitahu oleh sahabat saya, kebetulan mak pada salah seorang daripada sahabat Brunei saya bekerja di sini.
  • Masa melawat adalah dibuka pada setiap hari.

DSC_0387

  • Di sini pengunjung akan dapat melihat barang-barang kesenian dan pertukangan tangan yang ada yang dijadikan sebagai pameran dan ada juga untuk dijual.
  • Antaranya, kain tenunan, perak, keris, anyaman, songkok, batik dan lain-lain produk kraftangan.

22. One Billionth Barrel Monument & Oil & Gas Discovery Centre

DSC_0420

  • Perjalanan ke Kuala Belait memakan masa selama 1 jam 30 minit untuk sampai ke sana.
  • Kali ini perjalanan saya ke Kuala Belait, bertambah lagi daripada 4 orang menjadi 5 orang kesemuanya. Kami bertukar kereta dari Telisai menuju ke Kuala Belait.
  • Tempat tarikan disana, pengunjung boleh melawat tugu ini dan boleh juga ke Oil and Gas Discovery Centre yang terletak di Seria. Kawasan ini dipanggil Seria.
  • Kami tiba di sini sekitar jam 3.20 petang, dan cuaca agak panas dan berangin memandangkan kawasan ini berdekatan dengan pantai.
  • Tugu ini dibina terdapat maksud disebalik reka bentuk dimana antara salah satunya melambangkan pengaliran minyak mentah dari bawah tanah ke permukaan bumi, melambangkan sumber minyak yang datang dari pelbagai lokasi dan arah. Angka 6 pula melambangkan tempoh 6 dekad penjelahan dan penghasilan minyak untuk mencapai 1 bilion tong.
  • Logo tersebut melambangkan sumber minyak yang memberikan kemakmuran kepada rakyat dan negara Brunei.

DSC_0450

  • Selesai bergambar di tugu dan tasik, kami berjalan kaki ke Oil and Gas Discovery Centre yang tidak jauh dari sini. Untuk masuk ke dalam OGDC, bayaran masuk dikenakan mengikut kategori tertentu. Untuk dewasa (seorang) dikenakan sebanyak BND 5.

DSC_0478

  • Di dalam dewan pameran, terdapat info mengenai pelantar minyak dan juga terdapat permainan yang sesuai untuk golongan kanak-kanak dan juga dewasa.
  • Setelah selama 1 jam 40 minit berada di OGDC, kami bersedia untuk pulang ke bandar semula.

23. The Empire Hotel & Country Club, Brunei

DSC_0519

  • Malamnya, kami ke Empire Hotel yang terletak di Jerudong.
  • Kami ke sini hanya cuma mengambil gambar dan melihat suasana hotel mewah di sini .
  • Jika dari Bandar Seri Begawan untuk ke hotel ini mengambil masa selama 20 minit untuk sampai ke Empire Hotel.
  • Di hotel ini terletak berdekatan dengan Jerudong Park yang terdapat taman tema (theme park) dan juga berdekatan dengan Universiti Brunei Darussalam yang merupakan pusat pengajian sahabat saya dahulu.
  • Saya masuk Empire Hotel, agak teruja dengan konsep mewah yang ada di sini. Tak dapat merasa menginap di hotel mewah, dapat masuk dan ambil gambar pun dah cukup.

DSC_0509

  • Tandas untuk pengunjung yang datang pun kelihatan mewah di dalamnya. Bersih, luas dan ‘First-Class’

DSC_0523

  • Saya singgah solat jamak dan qasar disini. Lihat surau di sini memang luas dan selesa. Dapat jadikan sebuah bilik tidur pun berbaloi.

DSC_0541

  • Kami ke aras bawah pula, di sini terdapat beberapa buah meja makan khas untuk tetamu yang menginap di sini.

DSC_0593

  • Seterusnya kami ke bahagian luar Empire Hotel. Di luarnya terdapat kolam renang dan  bersebelahannya terdapat sebuah pantai. Memandangkan kami sampai pun dah malam, tak berkesempatan melihat pantai di sini.
  • Selesai bergambar di hotel, kami meneruskan destinasi terakhir ke Pasar Gadong untuk membeli makanan, dan makanan yang di ‘tapau’ di Pasar Gadong tadi kami singgah makan di Pusat Belia.

Isnin, 22 Februari 2016 (Hari Ketiga)

24. Royal Regalia Museum @ Bangunan Alat Kebesaran Diraja

DSC_0665

  • Malam semalam, selepas makan malam di Pusat Belia, saya ke rumah sahabat saya untuk menginap di sana selama satu malam memandangkan di asrama puteri saya cuma tinggal saya seorang. Atas faktor keselamatan, saya diajak oleh sahabat saya untuk tidur di rumahnya.
  • Pukul 7 pagi, saya bersiap awal memandangkan sahabat saya bekerja.
  • Saya tiba di Pusat Belia lebih kurang jam 9 pagi. Sampai di Pusat Belia, saya bersiap-siap untuk ke tempat seperti yang dirancang dan bergerak secara solo dengan berjalan kaki.
  • Saya keluar dari Pusat Belia dan berjalan kaki menuju ke ‘Royal Regalia Museum’. Jalan raya kelihatan agak lengang waktu itu.

DSC_0664

  • Saya tiba di ‘Royal Regalia Museum’ dan sebelum masuk, saya diberitahu oleh penjaga muzium supaya membuka kasut terlebih dahulu dan memakai selipar yang disediakan. Sebarang rakaman video atau gambar tidak dibenarkan sewaktu berada di dalam muzium.
  • Muzium ini terletak berdekatan dan bersebelahan dengan Pusat Sejarah Brunei.
  • Saya melihat banyak alat-alat kebesaran diraja yang dahulu sehingga sekarang yang diwarisi sejak zaman berzaman. Saya berkesempatan melihat pakaian dan mahkota diraja, gantungan gambar di dinding yang diberikan sebagai cenderamata, hasil daripada lawatan rasmi Sultan ke luar negara.

DSC_0660

  • Secara tidak langsung, serba sedikit saya dapat mengenali latar belakang Sultan Brunei dengan penubuhan muzium diraja ini yang dijadikan sebagai pusat informasi bagi pengunjung yang datang ke Brunei.
  • Di samping itu, saya dapat mengetahui kronologi kehidupan Sultan Brunei sekarang pada zaman kecilnya, zaman kanak-kanaknya, zaman sekolahnya dan juga zamannya dilantik menjadi Sultan Brunei yang ke-29 pada tahun 1967, gambar Sultan Brunei bernikah dengan isteri pertamanya pun saya tak terlepas peluang.
  • Hasil pembacaan saya, Sultan Brunei dahulunya pernah mendapatkan pendidikan menengahnya di sekolah Jalan Gurney dan Victoria Institution, Kuala Lumpur sebelum beliau melanjutkan pelajarannya di England.

25. Pusat Sejarah Brunei

DSC_0675

  • Seterusnya, saya ke Pusat Sejarah Brunei yang hanya bersebelahan dengan ‘Royal Regalia Museum’.
  • Pusat dibuka pada setiap hari kecuali pada hari Ahad dan cuti umum.
  • Pusat Sejarah Brunei mengandungi riwayat keturunan yang memperincikan asal-usul Keluarga Diraja dan dokumen sejarah yang lain yang penting kepada negara Brunei.

DSC_0671

  • Saya berkesempatan memasuki Dewan Pameran Salasilah dan juga Galeri Pameran Manuskrip Borneo sahaja.
  • Di dalam Dewan Pameran Salasilah, pengunjung berkesempatan melihat susur galur keluarga diraja dan sultan-sultan bahkan dapat melihat susur galur daripada Nabi Adam sehingga Nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW dan Sultan Syarif Ali, iaitu Sultan ke-3 berkait di dalam susur galur ini.
  • Seperti mana yang saya beritahu di awal penulisan saya berkenaan Sultan Syarif Ali, berketurunan Arab yang berasal dari Taif, fungsi dewan ini secara tidak langsung memberi pendedahan berkenaan susur galur Sultan Syarif Ali yang mempunyai jurai keturunan daripada Nabi Muhammad SAW melalui cucunya, Saidina Hassan.
  • Semasa saya berada dalam Dewan Pameran Salasilah, saya terdengar perbincangan antara dua orang lelaki bersama pegawai bertugas di sini berkenaan susur galur nabi-nabi yang membuatkan menarik perhatian saya lagi untuk mendengar. Saya fikir mungkin dua orang lelaki tadi, mungkin guru (ustaz) atau pelajar di Universiti. Sungguh-sungguh mereka memberi penerangan.
  • Saya menghabiskan masa di sini tidak lama, dan kemudiannya saya ke Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien.

26. Menara Jam

DSC_0683

  • Masa  dalam perjalanan ke Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien, saya ternampak Menara Jam di tengah-tengah jalan raya.
  • Pada sesiapa yang tak tahu, Menara Jam ini ada sejarahnya. Sejarah antara Brunei dan Tanah Melayu (Malaysia).
  • Ada juga yang panggil Menara Jam ini sebagai Jam Peringatan. Di setiap penjuru diletakkan sebuah jam berbentuk analog dan jam ini terletak berdekatan dengan Pejabat Pos Besar dan Cendera Lambang Kenangan yang terletak di Taman Hj. Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
  • Sejarah mengenai menara jam ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, iaitu Tuanku Abdul Rahman pada 11 Julai 1959 sempena keberangkatan beliau dari Tanah Melayu ke Brunei bagi tujuan lawatan ke Brunei selama 7 hari.

27. Cendera Lambang Kenangan

DSC_0698

  • Ini namanya Cendera Lambang Kenangan yang merupakan sebuah pintu gerbang yang dibina dengan ketinggian 10 meter sempena penukaran dari “Bandar Brunei” kepada “Bandar Seri Begawan”.
  • Cendera Lambang Kenangan ini terletak di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

DSC_0692

  • Kebetulan, esoknya adalah Sambutan Hari Kemerdekaan Brunei yang ke-32 tahun. Di sini, saya lihat ramai yang sedang sibuk menguruskan persiapan untuk hari esoknya.

DSC_0685

  • Ada juga yang saya lihat sedang membuat ‘rehearsal’ di tengah-tengah dataran.
  • Semasa saya di Brunei, sahabat saya ada beritahu, kalau tinggal lagi sehari di sini, saya berkesempatan untuk melihat sambutan hari kemerdekaan Brunei pada hari esok.
  • Saya melintasi dataran ini dan terus ke Masjid Sultan Omar Ali Saifudden.

28. Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien

DSC_0708

  • Masjid ini merupakan sebuah masjid yang dibina sempena nama bapa Sultan Brunei ke-29 yang dibina pada 4 Februari 1954 dan dirasmikan oleh Sultan Omar Ali Saifuddien sendiri pada 26 September 1958.
  • Sultan Omar Ali Saifuddien pada zaman pemerintahannya telah mengangkat martabat Islam dan dan telah menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara Brunei Darussalam.
  • Saya masuk di masjid ini kelihatan beberapa kumpulan wanita disini sedang mempelajari agama.
  • Saya tidak berpeluang untuk mengambil gambar di dalam memandangkan di dalam masjid ini tidak dibenarkan mengambil gambar.

DSC_0723

  • Masjid Sultan Brunei dan masjid Sultan Omar Ali Saifuddeen, kedua-duanya melambangkan agama Islam memainkan peranan utama bagi negara Brunei Darussalam.

29. Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

DSC_0742

  • Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini terletak berdekatan dengan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien, hanya berjalan kaki dah sampai ke Yayasan ini.

DSC_0746

  • Selalu kita dengar Yayasan berkaitan dengan pendidikan. Tapi, di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bokiah ini merupakan kompleks membeli belah terbesar di Brunei yang mempunyai kepelbagaian seperti kedai-kedai, butik fesyen, kedai makanan, kafe siber, dll.

30. Kampong Ayer

DSC_0837

  • Dari YSHHB, saya berjalan kaki sedikit dan melintas jalan ke arah tempat menunggu teksi air atau dipanggil ‘water taxi’ untuk ke Kampong Ayer.
  • Di Brunei, lokasi yang menarik perhatian saya adalah Kampong Ayer.

DSC_0803

  • Saya ingin melihat sendiri bagaimana terdapat sebahagian daripada masyarakat Brunei yang masih tinggal di Kampong Ayer, dan rumah-rumahnya dibuat di atas air.
  • Saya sampai saja, dah ada teksi air yang tunggu disitu. Saya pun terus naik dan saya beritahu pada adik tersebut saya ingin ke Galeri Kampong Ayer.
  • Perjalanan dari YSHHB ke Kampong Ayer tidak sampai 5 minit.
  • Tambang bayarannya cuma BND 0.50 sahaja.

DSC_0759

  • Masa di Kampong Ayer, saya hanya masuk ke dalam galeri dan berjalan disekitar situ sahaja untuk melihat rumah-rumah Kampong Ayer.
  • Kampong Ayer merupakan sebuah penempatan di atas air yang terbesar di dunia dan telah wujud sejak lebih 1000 tahun yang lalu. Kampong Ayer ini digelar sebagai “Venice of the East” oleh peneroka Eropah satu ketika.
  • Sehingga kini, Kampong Ayer masih dikekalkan dan menjadi mercu tanda bagi negara Brunei sendiri.

DSC_0791

  • Kampong Ayer merupakan sebuah tempat tarikan utama bagi pelancong luar dan dalam negara.
  • Saya lihat, walaupun negara Brunei mengalami perubahan sejajar dengan arus perubahan, namun masih banyak lagi masyarakat di Brunei yang masih menetap di Kampong Ayer.
  • Di galeri ini mempamerkan fakta sejarah bermula dari abad ke-10 sehingga sekarang dan juga perkembangan ekonomi dan sosial masyarakat di Kampong Ayer.

DSC_0809

  • Ini lah rumah model baru di Kampong Ayer. Ada yang rumahnya setingkat, ada yang dua tingkat.

DSC_0828

  • Di sesetengah buah rumah, saya lihat terdapat satu bot yang diletakkan di bawah rumah.
  • Walaupun rumah-rumah ini penempatannya di atas air dan nammpak seperti tidak membangun dan berada dalam suasana kampung, namun Sultan Brunei masih mengambil perhatian terhadap kebajikan penduduk di sini.
  • Setiap rumah di sini dibekalkan pelbagai kemudahan seperti air yang bersih dan elektrik.
  • Di sini juga didirikan balai polis, balai bomba, pusat kesihatan, sekolah rendah dan menengah. Tidak lupa juga, surau dan masjid juga didirikan untuk kemudahan beribadah.

DSC_0819

  • Rumah-rumah di sini dihubungkan dengan titian. Stesen minyak, kedai runcit dan perkhidmatan pos juga ada di sini.

DSC_0802

  • Tenang dan damai berada di Kampong Ayer ini dan saya berkesempatan menaiki menara di atas untuk melihat gambaran penuh dari atas.

DSC_0842

  • Selesai berjalan di sekitar Kampong Ayer, saya mengambil teksi air menuju ke Pasar Kianggeh. Kadar tambangnya cuma BND 1 sahaja.

31. Pasar Kianggeh

DSC_0855

  • Ini adalah destinasi saya yang terakhir untuk di Brunei dan pengembaraan saya tamat pada jam 11.30 pagi mengikut tentatif yang telah dirancang.
  • Pasar Kianggeh ini berdekatan dengan tempat penginapan saya. Jalan kaki cuma 5 minit sahaja dari Pasar Kianggeh ke Pusat Belia.
  • Setelah penat berjalan, saya berhenti rehat seketika selama 10 minit dan saya teruskan perjalanan untuk ke penginapan semula.

DSC_0848

  • Di Pasar Kianggeh ini terdapat banyak makanan yang dijual yang saya tak biasa dengar dan saya datang ke sini cuma ingin melihat suasana di sini.
  • Sedang duduk makan roti, saya ditegur oleh seorang pakcik yang membawa teksi air dan saya sempat berbual dengannya.
  • Katanya, Brunei adalah negara paling selamat kalau berjalan seorang diri jika dibandingkan di Kuala Lumpur. Saya pun angguk sahaja apa yang dikatakan oleh pak cik tersebut.

DSC_0856

  • Selesai melihat apa yang terjual disini dan mengambil gambar, saya teruskan perjalanan saya ke penginapan semula untuk bersiap balik ke Kuala Lumpur.
  • Pada jam 12.00 tengahari, check-out dari penginapan.
  • Penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 4.25 petang.

Farah Azwa Roslan.

Guest Writer @ MalaysiaBackpackers.com

FB: facebook.com/farahazwa.roslan

20 Comments

Leave a Reply